Projek penghasilan muzik baru yang dinamakan sebagai NEW AGE MALAY ini adalah suatu proses yang berteraskan falsafah DARI KITA, OLEH KITA, UNTUK KITA kearah untuk membangunkan lagi industri seni persembahan tempatan amnya dan industri muzik tempatan khususnya sebagai wadah terkini.

ALBUM TERBARU FIELDPLAYERS

1. Deskripsi

Muzik merupakan sebahagian daripada ketamadunan sesuatu bangsa dan Negara dan Malaysia tidak terkecuali daripadanya. Sejak zaman berzaman, bermula dengan pengaruh yang dibawa oleh pendatang, pedagang dan penjajah, muzik di Malaysia telah bertumbuhkembang hingga mewujudkan apa yang kita panggil sebagai muzik tradisi orang Malaysia. Dari petikan Gu Zheng ke ritma tabla hinggalah petikan Gambus ke paluan Rebana, masyarakat di Malaysia kaya dengan muzik tradisi yang masih dilagukan sehingga kini. Pengaruh instrumentasi yang dibawa oleh sekian orang-orang terdahulu seperti biola, akordion, harmonium, gitar, oud, tabla dan sebagainya telah mewarnai permainan muzik tanahair sehingga lahirnya muzik-muzik sinkretik tradisi seperti Joget, Asli, Inang, Ghazal, Zapin dan sebagainya hinggakan apabila melihat dan mendengar permainan muzik tersebut kita bagaikan terlupa dari mana alat-alat muzik itu sebenarnya berasal. Walaupun kita bukan pembikin asli kepada instrumentasi tersebut tetapi ianya telah berjaya melalui suatu proses padanan dengan budaya setempat sehingga mewujudkan suatu jenis permainan muzik yang begitu asing dari muzik asal instrumentasi tersebut tetapi sinonim dan autentik dengan masyarakat setempat. Malah, muzik sinkretik tradisi kini mempunyai nilai estetik yang tinggi dan menjadi sebahagian dari Seni Warisan Negara.

Bersumberkan muzik sinkretik tradisi inilah maka Projek Muzik NEW AGE MALAY atau Muzik Melayu Era Baru dibangunkan. Perkataan MALAY atau MELAYU digunapakai adalah kerana muzik sinkretik sememangnya sinonim dengan masyarakat Melayu malahan muzik tersebut masih diamalkan sehingga kini dalam lingkungan masyarakat Melayu Malaysia. Bagi projek ini, pilihan instrumentasi sebagai paduan atau blend muziknya adalah seperti berikut :

1.Vokal
2.Keyboard
3.Gitar
4.Bass
5.Dram
6.Perkusi Tradisi (Rebana, Tabla, Darbuka, Kompang, Marwas)
7.Perkusi Latin (Conga, Djembe, Toys)
8.Alto Saxophone / Soprano Saxophone
9.Trumpet / Flugle Horn

Didalam proses penghasilan ini, muzik sinkretik tradisi seperti Ghazal, Joget, Inang, Zapin, Asli dan lain-lain dijadikan sebagai sumber (home base) referensi kepada penghasilan muzik moden baru ini dengan sentuhan, garapan dan pengaruh kekinian. Muzik yang terhasil dari usaha ini tidak bersifat eksperimentatif kerana sasarannya adalah untuk diperdengarkan ke khalayak umum.

2. Objektif

Tujuan utama dari projek ini adalah untuk mewujudkan satu evolusi didalam penghasilan muzik baru dengan menjadikan muzik tradisi sebagai sumber referensi (home base). Ini adalah dengan mengambil contoh dari apa yang berlaku pada muzik barat. Proses evolusi yang berlaku dari semenjak zaman muzik blues (Akhir kurun ke 19) telah melahirkan beratus-ratus genre muzik yang lain sehinggakan setiap satu daripadanya menjadi kegilaan di seluruh dunia. Cuba kita perhatikan dan perdengarkan muzik RnB dari era Ray Charles di tahun 60’an sehingga ke era Beyonce Knowles sekarang ini. Proses evolusi yang berterusan menjadikan genre RnB itu bertumbuhkembang ke beratus-ratus sub-genre didalamnya. Begitu juga dengan muzik Jazz, Rock, Soul, Funk dan lain-lain lagi.

Di Malaysia sendiri, hampir kesemua genre muzik yang berada dipasaran bersumber ke muzik barat. Walaupun medium bahasanya adalah Bahasa Malaysia tetapi itu tidak bererti bahawa balutan muziknya bersifat tempatan. Kita masih lagi bersumber ke Rock, RnB, Jazz, Hip Hop dan segala-gala yang barat. Ini menyebabkan proses memperkaya muzik tempatan menjadi terbantut dimana yang sering diperkaya adalah muzik barat itu kembali maka menyebabkan halatuju muzik tempatan semakin kabur dan hilang daya saingnya dengan muzik-muzik yang diimport hingga melembapkan industri itu sendiri.

Usaha untuk memasukkan elemen tradisi atau rakyat (folk) kedalam muzik moden memang pernah dilakukan tetapi ianya tidak lebih dari bersifat tempelan sahaja dan bukannya paduan (blend) ataupun padanan justeru itu ia tidak melahirkan muzik baru yang bercirikan Malaysia. Muzik tradisi pula walaupun telah diperkaya dengan lagu-lagu baru tetapi ianya masih didalam bentuk yang asal tanpa sebarang evolusi radikal kepada “bunyi”nya menyebabkan terjadinya jurang yang ketara antara muzik moden dan tradisi. Generasi muda jelas lebih memilih muzik moden iaitu muzik barat sebagai ikutan dan siulan kerana sifatnya yang lebih up to date, urban dan house. Muzik tradisi pula dilihat sebagai sesuatu yang bersifat occasion dan festival malahan sering dianggap sebagai terkebelakang dan feudal.

Dengan falsafah DARI KITA, OLEH KITA, UNTUK KITA, projek ini adalah satu usaha untuk merapatkan jurang tersebut dengan mewujudkan satu genre baru iaitu New Age Malay di dalam seni muzik yang mampu untuk berdaya saing dengan muzik-muzik lain dipasaran tempatan mahupun antarabangsa. Selain daripada itu, ia juga boleh menjadi penghubung atau bridging di antara muzik moden dan tradisi serta pencetus kepada semua karyawan muzik tempatan untuk menghasilkan muzik kearah yang sama menurut blend masing-masing. Bob Marley pernah membuktikan bahawa ianya boleh dilakukan dimana disaat dunia sedang gempita dengan ledakan muzik Rock pada era 70’an yang dicetuskan oleh Industri Muzik Amerika, sang pemuzik dari Negara kecil Jamaica ini telah berjaya memecah dominasi tersebut dengan sentuhan muzik Raggae nya yang turut menjadi kegilaan dan ikutan dunia selepas itu.

3. Signifikasi projek

Projek ini merupakan pemangkin kepada perkembangan kreativiti muzik yang berlandaskan rujukan kepada muzik tradisi di Malaysia. Ianya selaras dengan misi kerajaan yang mahu mewujudkan masyarakat Malaysia yang moden di era globalisasi sekarang tetapi kental dengan identiti budayanya yang diwarisi turun temurun. Dengan terwujudnya genre muzik NEW AGE MALAY ini, ia boleh memberikan jawapan kepada permasalahan identiti serta hala tuju muzik Malaysia dewasa ini. Apatah lagi muzik baru ini bertujuan untuk disuntik ke dalam arus perdana muzik tempatan dan antarabangsa. Sungguh pun telah ada usaha-usaha pengembelingan yang dilakukan oleh karyawan-karyawan terdahulu terhadap muzik tradisi dan moden namun hasilnya masih terlalu eksperimentatif dan bersifat festival. Artinya, muzik yang terhasil itu hanya dipentaskan di festival-festival muzik dan hanya ditonton oleh sebilangan kecil masyarakat dan selebihnya dibawa untuk tontonan khalayak muzik di Negara-negara luar. Nuansa muzik yang kedengaran janggal serta avant-garde itu juga masih asing di telinga khalayak umum menyebabkan ia kurang diterima ramai sementelah usaha untuk merakam dan memasarkannya juga tidak dibangunkan. Akhirnya muzik tersebut hanya akan berkumandang di simposium, seminar dan forum muzik sahaja selain daripada festival tetapi tidak di media-media perdana. Ini menyebabkan muzik tempatan terus terperangkap didalam kapsul masa.

Muzik NEW AGE MALAY boleh merubah situasi kapsul masa itu dimana sumber referensinya adalah muzik tradisi manakala muzik-muzik yang lain (sama ada dari Barat mahupun Negara Jiran) hanyalah pengaruh didalam penghasilannya. Sepertimana muzik barat yang pernah mengalami proses back to root dalam evolusinya hingga berjaya mewujudkan muzik moden baru yang lebih menarik dan bertenaga, begitu juga dengan muzik NEW AGE MALAY. Sifatnya yang lebih santai dan tidak eksperimentatif serta masih berlegar di nuansa pop, pasti akan lebih mudah untuk diterima ramai serta berpotensi untuk menjadi salah satu “motor” yang bakal menjana kembali industri muzik tempatan. Secara tidak langsung ia akan menjadi “pintu” kepada generasi muda untuk mengenali kembali muzik tradisional dan menumbuhkan minat ke hati mereka terhadap muzik warisan negara sehinggakan mungkin disuatu hari nanti muzik tradisional juga boleh kembali berdiri sendiri serta dapat membantu menjana industri muzik tempatan tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan seperti sekarang.

Signifikannya, projek muzik NEW AGE MALAY ini akan menjadi pencetus kepada metodologi di dalam menghasilkan muzik moden tetapi masih punya authenticity dan dapat memperkayakan lagi khazanah muzik tempatan menerusi penumbuhan ranting-ranting baru dari sumber asalnya yang esthetic tanpa perlu lagi bersumberkan kepada muzik-muzik barat yang telah sekian lama membelenggu industri muzik tempatan.

KRONOLOGI.

1. Membangun metodologi.
– Proses mencari titik temu (meeting point) antara muzik tradisi dan moden. Sejarah dan kaitannya serta impak kepada zaman sekarang.

2. Nara Sumber
– Pemilihan muzik-muzik tradisi yang bakal di jadikan sumber (home base) kepada penghasilan muzik baru.

3. Membangun teknik
– Proses mencari pendekatan yang paling sesuai dalam proses pembikinannya secara teori dan praktikal dengan mengambil kira kehendak semasa.

4. Eksperimen
– Memilih lagu-lagu tempatan dari tradisional hingga moden dan menggubahnya semula dengan konsep NEW AGE MALAY.

5. 5.Eksplorasi Metodologi
– Membuat komposisi baru berdasarkan konsep baru ini.

6. Rakaman Demo
– Memilih 3 lagu tempatan tradisional dan moden yang telah digubah sebelum ini bersama satu komposisi baru untuk di rakam dalam bentuk demo EP. (dilancarkan pada Julai 2007)

7. Membentuk imej
– Setiap muzik dan pembawanya harus punya imej yang sesuai dan padan.

8. Festival
– Menyertai festival di luar negara (Indonesia) sebagai medium presentasi antarabangsa untuk uji pasaran.
(sangat berjaya sehingga mendapat permintaan bagi mendapatkan album)

9. Promosi Internet
– Muzik dipromosi menerusi laman Myspace, Reverbnation dan Facebook serta mendapat ulasan yang baik dari pelayar internet.

10. Latihan berkala
– Untuk memantapkan lagi permainan dan pemahaman terhadap muzik baru ini.

11. Seminar dan Bengkel
– Menyertai seminar dan bengkel muzik Rhythm Salad-A bowl of root music (2008) di Jakarta, Indonesia selama 2 minggu bagi menambah pengetahuan dan pengalaman serta bertukar pendapat berkaitan muzik dengan peserta lain dari pelbagai negara. Presentasi muzik NEW AGE MALAY mendapat perhatian pengkritik serta sambutan menggalakkan dari khalayak antarabangsa.

12. Berkarya kreatif
– Proses menambah repertoire baik dari segi komposisi baru mahupun gubahan semula.

13. Promosi tempatan
– Memperkenalkan muzik baru ini ke khalayak industri tempatan. Mendapat pujian karyawan lain tetapi peneraju industri tempatan masih bersikap skeptikal.

14. Festival
– Menyertai festival-festival muzik di luar negara. Khalayak antarabangsa memberi respon yang positif kepada muzik baru ini. Diangkat menjadi ikon untuk festival Hitam Putih International World Music Festival di Sumatera. Membuktikan muzik sebegini mempunyai potensi untuk pasaran antarabangsa.

15. Penghasilan Album Penuh (2008-2010)
– Proses rakaman serta produksi album studio pertama (telah dilancarkan pada 22 Jun 2010 di No Black Tie)

Kini, setelah album ini dilancarkan secara rasmi, muzik ‘NEW AGE MALAY’ telah berkumandang dicorong-corong radio tempatan walaupun tidak selalu, mendapat ulasan di akhbar-akhbar tempatan serta telah dipersembahkan di khalayak umum. Malah, ianya juga telah mendapat perhatian di kelab-kelab Jazz dan ‘venue’ lain di Malaysia, namun sokongan yang berterusan adalah diharapkan agar ianya terus mekar di tanah kelahirannya sendiri. Sokongan dari peneraju industri muzik tempatan juga amatlah diharapkan agar naskah ni bisa sampai ke seluruh pelosok tanah air.

SENI CERMINAN TAMADUN BANGSA. SOKONGLAH INDUSTRI MUZIK TEMPATAN.

Advertisements